MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QURAN PERINGKAT KEMENTERIAN HAL EHWAL DALAM NEGERI DAN JABATAN-JABATAN DI BAWAHNYA BAGI TAHUN 1447H / 2026M
Bandar Seri Begawan, Rabu, 11 Mac 2026 – Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya, yang dikelolakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,dengan tema “Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya” telah diadakan pada hari Rabu, 21 Ramadhan 1447 Hijrah bersamaan 11 Mac 2026, bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Shamsuri bin Haji Tuah, Ketua Guru Ugama di Jabatan Bomba dan Penyelamat, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia Ahli Bomba Kelas Satu 1026 Amin bin Zainuddin dan seterusnya tafsiran oleh Yang Mulia Ahli Bomba Kelas Satu 769 Shaikh Tamamulqamar bin Shaikh Mahmud.
Majlis diteruskan dengan ceramah bertajuk “Pesan-Pesan Ramadhan dan Nuzul Al-Quran” yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai sejarah penurunan Al-Quran serta pengajaran yang dapat diambil dan diamalkan di sebalik hikmah turunnya kalam Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Ceramah tersebut telah disampaikan oleh penceramah jemputan daripada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan iaitu Yang Mulia Doktor Mikdar Rusdi, Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin.