KEBAKARAN RUMAH DI KAMPONG PANCHOR MENGKUBAU
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 23 Februari 2026 – Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran melibatkan bahagian dapur sebuah rumah di Kampong Panchor Mengkubau pada sebelah petang.
Seramai 17 orang anggota bersama tiga (3) buah jentera dari Balai Bomba Mentiri dan Balai Bomba Muara telah dikerahkan ke tempat kejadian, diketuai oleh Penolong Pegawai Balai Rufiandi bin Abd Rahman, Ahli Bomba Kanan 147 Sahri bin Suhai dan Timbalan Pegawai Balai Abas bin Haji Ahmad.
Setibanya di lokasi, didapati kebakaran telah pun berjaya dipadamkan lebih awal oleh penghuni rumah, Samsudin bin Mohammad, dengan menggunakan satu (1) unit alat pemadam api jenis debu kering seberat 2.5 kilogram sebelum ketibaan jentera bomba.
Kebakaran tersebut melibatkan sebuah dapur masak (tambak) dan menjejaskan sebahagian dinding rumah. Kesemua penghuni rumah berjaya keluar dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Punca kebakaran dipercayai berpunca daripada hos gas LPG yang tercabut daripada penyambungan dapur semasa aktiviti memasak.
Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyarankan orang ramai agar sentiasa:
✅ Memastikan dapur masak ditutup (switch off) sepenuhnya selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.
✅ Memastikan pemasangan dan penyelenggaraan hos serta sambungan tong gas dikendalikan oleh syarikat bertauliah mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.
✅ Tidak meninggalkan masakan tanpa pengawasan.
✅ Memastikan kediaman dilengkapi dengan peralatan keselamatan kebakaran seperti alat pemadam api jenis debu kering dan selimut api (fire blanket).
✅ Mengetahui tatacara penggunaan alat pemadam api dengan betul bagi tindakan awal memadam kebakaran kecil.