TUTONG, Khamis, 12 Februari 2026 – Sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengaturkan beberapa aktiviti keugamaan termasuk Kempen Membersihkan Tanah Perkuburan yang dilaksanakan di keempat-empat daerah yangmana bagi daerah Tutong ialah di Tanah Perkuburan Islam Bang Nukat, Kg Lamunin Tutong.
Seramai 80 orang keanggotaan dari Cawangan Operasi ‘E’, Daerah Tutong yang diketuai oleh Yang Mulia Penguasa Kanan Haji Afiq bin Haji Julah, Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘E’, telah melaksanakan aktiviti pembersihan berkenaan.
Aktiviti tersebut diselajurkan dengan bacaan tahlil dan doa arwah sebagai tanda penghormatan kepada anggota-anggota yang telah kembali ke rahmatullah. Bacaan dipimpin oleh Guru Agama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Yang Mulia Ustaz Awang Haji Shamsuri bin Haji Tuah.
Melalui pelaksanaan aktiviti seumpama ini, ia bukan sahaja bertujuan menyemarakkan suasana menjelang bulan Ramadan, malah turut menyuburkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang sesama insan, keprihatinan terhadap kebersihan persekitaran, pembinaan kerohanian serta mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga jabatan dan masyarakat.